Isnin, 17 Januari 2011

Kejayaan dan Kegagalan Sekolah Milik Siapa?

Salam bahagia. Agak lama tidak menjengah kerana kesempitan masa menggerakkan persekolahan pada minggu pertama dan kedua. MGB berterima kasih atas keputusan 'win-win situation' berkait dengan perlaksanaan kelas KAFA Yayasan Islam Terengganu. Semoga pihak pengurusan sekolah berjaya bermuafakat dengan guru-guru KAFA mempastikan KAFA berjalan lancar di sekolah masing-masing. MGB berpendapat bahawa GB orang yang amat penting di sekolah, maka segala perubahan yang hendak dilaksanakan di sekolah oleh mana-mana pihak perlulah terlebih dahulu melalui GB.

Persoalan yang selalu ditimbulkan ialah apakah jenis kepimpinan yang diperlukan oleh sekolah dan bagaimana seseorang pemimpin dapat berfungsi dengan berkesan. Kecemerlangan organisasi sekolah banyak dipengaruhi oleh elemen-elemen guru, murid, struktur pentadbiran, teknologi pendidikan dan persekitaran sekolah yang sihat. Sekolah-sekolah yang selesa dan tidak mahu berubah akan membawa kepada kemerosotan prestasi sekolah berkenaan.

GB yang berjaya adalah GB yang sentiasa peka dengan tuntutan perubahan, sama ada perubahan yang dirancang atau perubahan luaran yang tidak dirancang. Inilah masanya untuk GB menyediakan spesifikasi kerja yang baru dan mengatasi konflik yang timbul.
Keadaan sebegini akan mewujudkan tekanan dan kekangan terhadap kerja guru yang menjadi penentu terhadap keberkesanan perlaksanaannya.

Kepimpinan dalam mana-mana organisasi termasuk sekolah perlu beroperasi melalui orang lain atau di sebut 'empowerment'. Peluang untuk maju dalam memperkembangkan sekolah dalam pelbagai bidang mesti bertumpu kepada manusia bukan sistem (sekolah). Barth (1990) menggunakan sekolah sebagai komunti pembelajaran dimana guru, GB, murid dan ibubapa melibatkan diri dalam pembelajaran dan pengajaran. Mereka melibatkan diri dalam inkuiri, penyelidikan dan bersembang-sembang secara berterusan mengenai P & P dimana sahaja di sekolah dan saling bantu-membantu antara satu sama lain.

Sekolah sebagai organisasi formal memerlukan GB untuk berjaya dan berupaya meningkatkan presatasinya. Kepimpinan GB lahir dari cara ia berfikir, tanggapan terhadap sesuatu isu dan apa yang ia fikirkan tentang dirinya dan kerjayanya. Kejayaan membuat perubahan di sekolah bukan semata-mata dari pengurusan bersifat 'dari atas ke bawah' sahaja, tetapi memerlukan campuran 'dari bawah ke atas'. Terserahlah kepada rakan-rakan GB untuk menjawab tajuk di atas!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan