Rabu, 26 Januari 2011

'E-book untuk digital citizen & mengukuh digital emigrant?'

Salam hormat. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu di bawah pimpinan YAB Dato' Ahmad Said, Menteri Besar Yang telah mengagihkankan ebook untuk murid tahun 5 2011. Beberapa majlis penyerahan mengikut DUN telah pun berlangsung, misalnya kelmarin untuk DUN Bandar dan Wakaf Mempelam. Yang menariknya penyerahan ebook tahun ini telah dibuat seawal bulan Januari. MGB berpendapat bahawa lebih banyak program dan aktiviti yang melibatkan penggunaan ebook oleh murid-murid dapat diatur, dilaksana dan dinilai keberkesanannya selain menjadi buku teks.

Semasa majlis sesi bersama Pengarah Pelajaran Terengganu pada akhir tahun lepas, MGB Terengganu ada mengedarkan CD SIP yang mengandungi cadangan pelan strategik dan pelan tindakan untuk rakan-rakan GB seluruh Terengganu. Kandungan CD tersebut adalah hasil bengkel kecemerlangan pendidikan yang telah diadakan di Kota Bharu. MGB ingin menarik perhatian bahawa bidang GURU telah disyorkan dengan 3 objektif dan setiap objektif disertakan dengan 3 aktiviti.

MGB berpendapat adalah wajar guru meningkatkan kreativiti dan inovasi dalam P & P yang melibatkan penggunaan ICT (maksudnya guna ebook) oleh murid. Salah satu cara yang disebut ialah pembelajaran berasaskan projek atau masalah (problem or project based learning, PBL). PBL ini bukanlah perkara baru kerana guru-guru yang menerima komputer notebook dari Kerjaan Negeri tahun lepas telah dilatih oleh Intel-Top IT. PBL adalah salah satu kaedah P & P yang telah diberikan kepada guru-guru berkenaan. PBL juga pernah diperkenalkan dibawah program Sekolah Bestari (Smart School). PBL boleh diadaptasi untuk semua mata pelajaran dan dipermudahkan lagi dengan penggunaan ebook. Isunya adakah guru-guru bersedia untuk memulakannya atau guru-guru tahu, faham dan mahir untuk menggunakan ICT selepas dilatih oleh Intel-Top IT. Atau adakah guru-guru yang dilatih dapat berkongsi pengalaman dengan rakan-rakan sejawat di sekolah yang sama.

Disinilah timbulnya istilah 'digital citizen' dan 'digital emigrant' yang mengkategori keupayaan murid-murid dan guru-guru dari segi ICT. Kebanyakan murid telah bersedia sebagai 'digital citizen' sementara guru masih di peringkat 'digital emigrant'. Sebab itu apabila sekolah tertentu mengadakan P & P berasaskan PBL dengan menggunakan ebook oleh murid-murid, didapati hasilnya sangat menarik dari segi persembahan, isi, rujukan dll.

Ebook boleh digunakan untuk membangunkan 'digital citizen' sementara guru-guru jangan terus ketinggalan untuk menggunakan ICT membantu P & P walaupun sebagai 'digital emigrant'. Lebih teruk jangan menjadi 'digital foreign' sehingga menggeletar jari-jemari bila terkena keyboard komputer atau email dan laman web pun tidak boleh dibezakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan