Sabtu, 5 Februari 2011

Merebut Pangkat (DGA34 & DGA38) atau Merebut Tanggungjawab?

Salam hormat. MGB merasa terpanggil untuk mencelah apabila admin unitrendah spsjpnt menjelaskan dengan panjang lebar isu naik pangkat GB. Keadaan menjadi heboh apabila mereka yang merasakan diri mereka layak tidak dipanggil untuk hadir taklimat berkaitan naik pangkat tersebut menghebohkan kepada 'pihak-pihak lain'. MGB juga ada menerima pertanyaan dan aduan dari GB yang terlepas peluang naik pangkat. Kita merasa simpati atas rakan GB yang mengalami keadaan tersebut dan menasihatkan supaya jangan mudah putus harap.

Kita tidak berhasrat mengulangi apa yang telah dipaparkan dalam blog unit rendah JPNT, cuma sekadar melihat kembali keupayaan melaksanakan tanggungjawab GB Cemerlang. Kepada rakan GB yang telah menikmatinya cubalah lihat semula apakah senarai tugas GB Cemerlang (sebagaimana dinyatakan dalam pekeliling perkhidmatan)telah dipenuhi atau setakat memanaskan kerusi 38 sahaja. Bagi yang belum dapat dan sedang memohon cuba-cubalah fahaminya. Adakah telah berlaku transformasi yang ketara sepanjang perkhidmatan di sekolah yang dipimpin sekarang atau sekolah yang baru ditinggalkan? Caldwell (2003) menyatakan transformasi disekolah berlaku apabila guru-gurunya melaksanakan kerja berasaskan penyelidikan atau kajian, 'data-driven, outcomes-oriented' dan berfokuskan pasukan.

MGB percaya bahawa rakan-rakan GB tidak mudah melenting tidak tentu fasal kerana tidak berjaya merebut gred 34 atau 38 pada tahun ini. Walau pun persaingan menjadi bertambah sengit untuk mendapatkannya, tetapi gred tersebut bukanlah segala-galanya. Kita percaya bahawa melaksanakan tanggungjawab itu lebih utama. Pernah berlaku rakan GB 38 yang kena bertukar dari sekolah yang 'hebat' ke sekolah yang 'biasa-biasa' sahaja tetapi menerimanya sebagai tanggungjawab baru. Ada rakan GB 34 tercicir nama dan ada yang terlepas mengisi borang untuk gred 38 tetapi terus berazam meningkatkan pencapaian sekolah mereka. Mereka ini kemudiannya berjaya membuktikan komitmen terhadap tanggungjawabnya sebagai GB yang berjaya dan akhirnya menerima gred 38.

GB tidak perlu bersikap memencilkan diri atas isu-isu pertukaran atau penempatan semula sekolah atau tersangkut di gred yang sama kerana terlepas 'promotion'. Marilah sama-sama untuk terus mengukuhkan pembelajaran untuk diri sendiri. Mulakan dengan inkuiri tehadap diri sendiri; adakah aku memiliki 'knowledge of practice' dan 'knowledge for pactice'? Jika ini permulaannya maka GB telah memulakan satu kitaran inkuiri...mudahnya marilah bermuhasabah diri!