Jumaat, 15 Mac 2013

Menghadapi Cabaran, Mendepani Halangan

Salam bahagia. Selamat bertemu semula di tahun 2013. GB mesti bersikap dan sentiasa bersifat tahu, faham dan berjaya dalam tugasnya untuk mencapai kecemerlangan sebagaimana yang dirancang. Itulah bukti sebagai GB berjaya. Hari ini dan hari yang mendatang, GB mesti berupaya menunjuk dan pertontonkan data LINUS (Tahun 1-3), GPS, peratus 5A & peratus lulus minimum C UPSR. Di situlah bai'ah, disitulah sumbangan penghargaan & di situlah hadiah kejayaan dilonggok. Masalah penyelenggaraan fizikal dan persekitaran sekolah hampir terbiar, terlepas pandang atau dilupakan. Marilah sama-sama berkokok atas pelantar MS ISO, dokumentasi dan pelbagai rekod & fail yang tidak releven dengan amalan peningkatan kecemerlangan akademik sekolah. Berdirilah di pintu masuk sekolah mengucapkan selamat datang kepada semua murid dan rakan guru yang hadir, bukti guru penyayang. Walaupun begitu rakan-rakan GB mesti ingat bahawa kita sebagai sebagai GB masih memiliki falsafah, pendidikan, profesionalisme dan kepemimpinan yang menjadi dasar & teras kejayaan kerjaya GB. GB memiliki falsafah diri yang terbina hasil pemikiran, renungan, pemerhatian dan pembelajaran mengenai sesuatu perkara. Misalnya jika mahu mencapai kejayaan, ia memerlukan perancangan, tempoh masa & pelaksanaan terhadap apa yang dirancang. Pada masa yang sama GB adalah orang yang berpendidikan. Ia mesti memiliki ilmu pengetahuan, kepakaran, sikap & nilai yang baik yang menyumbang kepada kebaikan organisasi sekolah. Pendidikan yang meluas & berkembang adalah amalan untuk menjadikan GB orang yang bijaksana. Pada setiap masa GB adalah seorang yang memiliki profesionalisme. Ia memiliki sifat kecekapan, komitmen, dedikasi, pengorbanan dan kepakaran. Ciri-ciri ini tidak statik dan ia perlu ditingkatkan melalui kemahiran dan sikap baru mengikut perkembangan semasa. Akhir sekali GB adalah pemimpin organisasi sekolahnya. Ia bermoral, adil, sabar & tetap pendirian. Ia mesti mengelakkan dirinya dari menjadi 'obsolete' dan ketinggalan zaman. GB perlu peka kepada profesionalisme agar ia tahu apa yang dilakukannya. GB mesti peka kepada kepimpinannya supaya ia boleh menghadapi cabaran semasa dan mendepani kerenah anggota organisasinya & 'stake-holder' pendidikan yang menaruh harapan tinggi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan